Monday, May 6, 2013


Kelebihan Membaca Surah Al-Mulk

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
 السلام عليكم ورحمة الله وبركاته




Alhamdulillah sahabat-sahabat semua, syukur kehadrat Allah SWT kerana memberi peluang serta ruang untuk kita untuk terus bernafas lagi hingga ke saat ini. (Hembuskan nafas, ucapkan alhamdulillah)..

Jika di kolej kediaman, setiap hari Rabu malam Khamis, biasanya kita semua akan membaca surah Al-Mulk di bilik rehat masing-masing kan ?

Syukur, alhamdulillah, kita tetap istiqomah dan tidak tinggal untuk membaca surah itu setiap sekali dalam seminggu. Allah beri peluang dan berikan hidayahNya kepada kita untuk terus tetap meluangkan sedikit masa untuk membaca surah Al-Mulk.

Pasti ada sekelumit rasa keterpaksaan dalam hati kita kadang-kadang apabila kita sedang sibuk dengan tugasan yang banyak, tapi perlu meluangkan sedikit masa untuk membaca Al-Quran.

Dalam keterpaksaan itulah lahirnya pengorbanan yang tinggi dalam diri kita untuk meninggalkan sebentar tugasan-tugasan itu dan meluangkan masa sebentar cuma untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Sahabat-sahabat semua, tiada janji yang boleh disangkal lagi kebenarannya melainkan janji Allah untuk hambanya. Dijanjikan kepada setiap hambanya akan ganjaran pahala, syurga dan sebagainya atas segala kebaikan yang kita lakukan.

Dalam melakukan amalan harian pula, khususnya membaca Al-Quran, beberapa bahagian pahala dariNya untuk kita,

-pahala mendengar bacaannya,
-membacanya,
-pahala untuk berusaha membaca walaupun tersekat-sekat,
-pahala untuk belajar,
-pahala untuk mengajar,
-pahala untuk setiap huruf yang kita baca,
-pahala untuk setiap ayat yang kita baca dan fahamkan,
-pahala untuk mengamalkan isinya,
-pahala untuk menghafalnya

dan banyak lagi yang kita perlu terokai akan balasan kepada kebaikan yang kita lakukan untuk membaca Al-Quran.

Kelebihan Surah Al Mulk

Surah ini menyelamatkannya daripada azab kubur. Kelebihan juga dinyatakan pada malam hari. Seseorang yang membacanya pada malam hari telah melakukan banyak ibadah dan telah melakukan satu amalan yang baik.

“Sesungguhnya Rasulullah SAW tidak akan tidur melainkan setelah membaca surah As Sajadah dan surah Al Mulk.”

Di antara kelebihan Surah ini ialah:
1. Surah ini akan menjadi penyelamat.
2. Penegah pembacanya dari seksa kubur.
3. Berada di bawah naungan sayap malaikat (mendapat rahmat Allah).
4. Di hari kiamat rupanya akan dicerahkan seperti wajah Nabi Yusuf (cantik).
5. Dinamakan Surah gagah perkasa, pintar lagi cerdik.

Fadhilat Dari Hadis

Terdapat banyak hadis tentang fadhilat yang terkandung dalam Surah Al Mulk, iaitu:
.
1. Mendapat Syafaat
  • Daripada Abu Hurairah r.a dari Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya di dalam al_Quran ada 30 ayat memberi syafaat kepada pembacanya sehingga diberi keampunan untuknya iaitu surah al-Mulk.”
  • Abu Hurairah meriwayatkan hadis, katanya: “Sesungguhnya di dalam Al-Quran itu, ada satu surah yang mengandungi 30 ayat, ia mensyafaat bagi lelaki yang membacanya. Maka selagi mana lelaki itu membacanya, selagi itu pula ia meminta ampun untuknya. Surah itu ialah surah Al Mulk.” 
  • Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Sebahagian surah-surah yang terdapat di dalam Al-Quran ada satu surah yang mengandungi 30 ayat. Surah itu surah Al Mulk. Ia memberi syafaat kepada orang yang membacanya dengan mengeluarkannya dari Neraka dan memasukkannya ke dalam Syurga.” 
  • Ulama berkata: ”Sesungguhnya surah Al Mulk itu melepaskan pengamal-pengamalnya dari kena azab. Ia akan bersoal jawab pada hari kiamat di hadapan Tuhan kerana menuntut kelepasan mereka yang mengamalkannya dari azab api Neraka.”

2.  Menyelamatkan daripada seksa kubur
Di dalam kubur orang yang telah mati para malaikat azab datang pada sisi kakinya untuk memberi  hukuman.  Kakinya berkata; “kamu tidak dapat hampir dari sisi kakiku kerana orang ini pernah berdiri dalam solat dan membaca Surah Al-Mulk”. Kemudian mereka datang dari sisi dada (hati) dan perut, dan mereka juga terhalang. Kemudian mereka datang dari sisi kepala.
Pendekata, setiap sendi berkata; “kamu tidak dapat datang dari arah ini kerana orang ini selalu membaca Surah Al-Mulk”. Maka, Surah ini menyelamatkannya daripada azab kubur.
.
  • Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Surah Al Mulk itu memelihara dan menghindarkan pembacanya dari azab kubur.” 
  • Nabi Muhammad SAW  bersabda: “Sesiapa membaca surah Al Mulk setiap malam, diselamatkannya dari azab kubur.” 
  • Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa membaca surah Al Mulk pada mana-mana malam, nescaya datang ke dalam kuburnya surah itu sebagai penganti untuk bersoal jawab dengan Munkar Nakir”. 
  • Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Sesungguhnya di dalam Al-Quran ada satu surah yang terkandung 30 ayat. Surah itu ialah surah Al Mulk. Ia akan datang kepada pembacanya untuk membantu bersoal jawab dalam kubur sehinggalah mereka selamat masuk ke dalam Syurga.” 
  • Saiyidina ‘Abdullah bin Abbas berkata: “Sesiapa membaca surah Al Mulk sehingga menjadi amalan wiridnya, nescaya ia mendapat bantuan dan pertolongan dari Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam kuburnya. Bila azab hendak datang ke kepala, terdengar satu seruan: “Tidak boleh engkau datang ke pihak kepala ini kerana ada surah Al Mulk.”
  • Daripada Ibnu Abbas r.a berkata, seorang sahabat Rasulullah SAW telah mendirikan khemah di atas kubur dan beliau tidak tahu ianya kubur. Maka di dalamnya terdengar suara bacaan surah al-Mulk sehingga khatam maka beliau menemui baginda SAW dan berkata : “Wahai Rasulullah SAW, saya dirikan satu khemah di atas satu kubur dan saya tidak tahu bahawa ianya kuburdan saya terdengar seorang manusia sedang membaca surah al-Mulk sehingga khatam. ” Nabi SAW bersabda; “Itulah yang menahan dan menyelamatkan dia daripada siksa kubur.”  (HR At-Tarmizi)

 .
 .
3. Hati Beriman
  • Rasulullah SAW bersabda: “Hatiku ingin supaya Surah Al-Mulk berada di dalam hati setiap orang yang beriman.” (iaitu setiap muslim hendaklah mempelajarinya dan membacanya dengan istiqamah).
  • Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Aku sungguh gembira, sekiranya orang mukmin sentiasa membaca surah Al Mulk sehingga seolah-olah surah itu tertulis di dalam hatinya.”
 .
 .
4.  Mendapat Keistimewaan
  • Saiyidina ‘Ali berkata: ”Sesiapa mengamalkan surah Al Mulk, nescaya dibawa ia pada hari kiamat di atas sayap malaikat serta wajahnya yangcantik seperti nabi Yusuf.” 
  • Ulama berkata: “Sesungguhnya surah Yasin dan surah Al Mulk terkandung di dalamnya beberapa rahsia dan kelebihan. Sesiapa mengamalkannya, nescaya ia mendapat rahsia-rahsia dan kelebihan-kelebihan itu sertadikasihi oleh semua manusia dan juga menjadi hebat pada pandangan makhluk.” 


InsyaAllah, sama-sama kita doakan supaya Allah terus membuka dan melembutkan hati kita untuk terus terpaut dengan Al-Quran, dan terus istiqomah dalam melakukan kebaikan.

Tidak rugi kan kita baca Al-Mulk. Kalau boleh, kita baca la sendiri sebelum tidur setiap hari. 



Bacalah Al-Quran sahabat, jangan biarkan rumah atau bilik kita itu menjadi seperti kubur yang sepi, seperti rumah yang tidak berpenghuni kerana tiada dibacakan ayat-ayat Allah di dalamnya.


DOA UNTUK MENGUBAT CINTA DAN KASIH SAYANG YANG TELAH HILANG.


Salam,

Kasih sayang, perasaan cinta serta iman seseorang itu adalah sesuatu yang sukar dikekalkan. Jika ia sudah mula pudar dan hilang dari sudut hati sanubari itu maka akan hilang kasih sayang terhadap seseorang insan itu yang suatu masa dahulu, cukup dicintai, cukup dikasihi dengan sepenuh hati. 

Kini hanya tinggal kenangan sedih yang sukar diubati. Peliharalah cinta dan kasih itu seperti iman yang sejati, Jangan biarkan ia pergi. Apabila kasih dan cinta itu hilang, sukar untuk dicapai kembali.

Banyak perhubungan yang terputus ditengah jalan. Yang paling teruk jika yang sudah berkahwin dan mempunyai anak-anak. Kadang-kadang perhubungan suami isteri sahaja dikekalkan demi anak-anak. Perasaan kasih sayang dan cinta sudah lama terpadam. Yang lebih menyedihkan si dia mula mencari orang lain sebagai pengubat hati. 

Bagi yang belum berkahwin dan bercouple, cinta yang semakin pudar dapat dihidu. Kalau dahulu si dia selalu telefon anda tetapi sekarang anda sudah jarang-jarang dapat "call". Kalau dahulu selalu terima "SMS" panjang-panjang, kini pendek dan ringkas sahaja. 

Bagi yang sudah berkahwin, paling senang nak tahu kasih sayang dan cinta pasangan anda semakin pudar. Ia sudah pandai menyakitkan hati anda. Apa yang anda buat dah tak betul dimata dia. Nampak kelemahan lebih dari kebaikan serta susah nak senyum dan bergurau macam dulu-dulu. 

Doa ini boleh diamalkan oleh yang mereka yang belum berkahwin dan yang sudah berkahwin. Jadi berusahalah dan berikhtiar kerana masih belum terlambat sebelum menjadi luka menjadi kudis dan bernanah. 

Cara-cara memulihkan:

1. Solat hajat - minta dipermudahkan dan dimakbulkan (Baca doa ini selepas solat hajat) - Mohon pada Allah SWT kembalikan perasaan cinta dan kasih sayangnya terhadap anda

2. Boleh amalkan doa ini selepas setiap kali solat waktu. Baca doa ini dan ditiup pada tangan dan sapu pada wajah serta lurutkan keseluruh badan.

3. Jika yang sudah berkahwin, baca pada air doa ini dan minum. Masukkan juga dalam minuman sidia. Mulakan selawat 3x, Al-Fatihah 7x dan Doa tsb sebanyak 11x. InsyaAllah dengan izin-Nya dapat diselamatkan rumahtangga anda. Pada Mu, Ya Allah aku berserah.....




Maksudnya:(SURAH AL AN'NAM: AYAT 122)

Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayat petunjuk) dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapatlah dia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapatlah) dia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya? Demikianlah (sebagaimana iman itu diperlihatkan keelokannya kepada orang-orang yang beriman), diperlihatkan pula pada pandangan orang-orang yang kafir itu akan keelokan apa yang mereka telah lakukan (dari perbuatan kufur dan segala jenis maksiat.  

Wasalam



SURAH TAHA (AYAT 1- 5) MELEMBUTKAN HATI YANG KERAS DAN SEBAGAI DOA PENDINDING DIRI.


doa lembutkan hati

Surah Taha adalah surah yang ke 20, juzuk 16. Surah yang baik untuk melembut hati yang keras terutama sekali dibacakan kepada ahli keluarga yang keras hati, malas dan degil untuk beribadat kepada Allah SWT. Boleh diamalkan sebagai ayat pendinding diri. Ayat 1 hingga 5 yang dibaca oleh Saidina Umar Al-Khattab r.a yang pada masa dan ketika itu belum lagi memeluk Agama Islam, tersentuh hatinya dan beliau terus memeluk agama Islam pada hari itu juga dihadapan Nabi Muhammad SAW.

Beliau seorang yang berani semasa kafir dan bertambah berani sesudah beriman. Sifat berani dan garang sehingga iblis atau syaitan pun tidak berani melintas dihadapan beliau lari lintang pukang jika bersua dengan Saidina Umar, inikan pula kita yang lemah semangat.

Semasa Nabi Muhammad s.a.w. mula menyebarkan Islam secara terang-terangan, Saidina Umar mempertahankan ajaran tradisi masyarakat Quraisy. Saidina Umar ialah antara orang yang paling kuat menentang Islam pada masa itu.

Menurut ahli sejarah Islam, semasa Saidina Umar dalam perjalanan untuk membunuh Rasulullah s.a.w., beliau bertembung dengan seseorang yang mengatakan bahawa beliau haruslah membunuh adik perempuannya dahulu memandangkan adiknya telah memeluk Islam.

Saidina Umar pergi ke rumah adiknya dan mendapati adiknya sedang membaca Al-Quran. Dalam keadaan yang marah dan kecewa beliau memukul adiknya. Apabila melihat adiknya berdarah, beliau meminta maaf dan sebagai balasan beliau akan membaca secebis ayat Al Quran kepada adiknya. Beliau berasa terharu apabila membaca dan mendengar ayat-ayat Al Quran yang begitu indah sehinggakan beliau memeluk Islam pada hari itu juga. Itulah kelebihan Surah Taha yang dibaca oleh beliau.

Selepas peristiwa terbabit, beliau berjanji akan melindungi Islam sehingga ke titisan darah terakhir. Dia menjadi khalifah kedua Islam pada 23 Ogos (633-644) bersamaan 22 Jamadilakhir tahun 13 Hijrah dan merupakan salah satu khalifah di dalam Khulafa al-Rasyidun.

Sebuah hadith dari Ibnu Abbas yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah bahawa Rasulullah SAW berkata:
"Apabila Umar memeluk Islam, Jibril pun datang dan berkata: "Ya Muhammad, sesungguhnya seluruh makhluk langit bergembira dengan islamnya Umar"
Setelah memeluk Islam, Rasulullah SAW telah mengelarnya sebagai Al-Faruq kerana dapat membezakan di antara perkara yang benar dan bathil. Ketika ditanya oleh para sahabat bagaimana dia mendapat gelaran tersebut, Saidina Umar menjawab : "Pada suatu hari, Aku bertanya kepada Rasulullah SAW : "Ya Rasulullah SAW, adakah kita dalam kebenaran ?"

Jawab Rasulullah SAW: "Benar"

Aku berkata lagi: "Kenapakah kita beribadah secara sembunyi ?"

Kemudian kami masuk ke Masjidil Haram membuat dua syaf, satu saya dan satu lagi Saidina Hamzah (berjemaah). Maka semua orang KAFIR Quraisy melihat ke arah kami berdua dengan perasaan yang sangat marah yang tidak pernah mereka terjadi sebelum ini, lalu Rasulullah SAW mengelarkan aku Al-Faruq! 

Dengan islamnya Umar, maka umat Islam yang sebelum itu sentiasa ketakutan menjadi kuat. Mereka telah berani solat secara terang-terangan di BaitulLah khususnya setelah peristiwa di atas. Di samping itu juga, orang Quraisy juga tidak berani menganggu orang Islam yang sedang beribadah kerana takut kepada Umar.

doa melembutkan hati

Maksudnya:
  1. Taa. Haa.
  2. Kami tidak menurunkan A-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan.
  3. Hanya untuk menjadi peringatan bagi orang-orang yang takut yang melanggar perintah Allah.
  4. Al-Quran diturunkan dari tuhan yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi.
  5. Ia-itu Allah Ar-Rahmaan,yang bersemayam diatas 'Arasy.

Bacaan Untuk Anak/Suami Yang Degil Yang Tak Mahu Solat

Baca doa ini 3 x dan dihembuskan semasa anak/suami anda sedang tidur pada hidungnya semasa ia sedang menarik nafas masuk. Lakukan sekurang-kurangnya 7 malam semasa anak /suami sedang tidur nyenyak. InsyaAllah...

Wasallam.

Fadhilat Surah al-Insyirah




Kadang-kadang bila hati terlalu sesak dengan sesuatu yang membebankan, tapi jika diluahkan akan pasti mengundang luka di hati insan lain cakap salah, tak cakap pun salah.
jadinya, sesaklah hati dan perasaan. -----> sangat berat perasaan itu.

Maka, marilah kita amalkan surah al-Insyirah untuk melapangkan dada, insyaAllah.



Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
(1) Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: Dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayat petunjuk)?
(2) Dan Kami telah meringankan daripadamu: Bebanmu (menyiarkan Islam);

(3) Yang memberati tanggunganmu, (dengan memberikan berbagai kemudahan dalam melaksanakannya)?

(4) Dan Kami telah meninggikan bagimu: Sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)?

(5) Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,

(6) Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.

(7) Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain),

(8) Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini).


Banyak fadhilat yang boleh didapati dari surah ini. Antaranya: 

1. Mempermudah segala urusan dan murah rezeki. Amalkan membacanya 7 kali selepas solat fardhu.

2. Apabila ada sesuatu hajat yang penting, kerjakan solat sunat Hajat atau Tahajjud ditengah malam, dan baca surah ini 103 kali atau lebih banyak menurut kemampuan. InsyaAllah hajatnya akan tercapai.

3. Amalkan membaca surah ini, Insya Allah terjauh dari wabak penyakit panas dan penyakit berjangkit.

4. Untuk mengubati orang yang disengat serangga, baca surah ini kemudian tiupkan kepada pesakit, insyaAllah akan sembuh.

5. Barangsiapa mengamalkan surah ini, nescaya dadanya yang sempit akan dilapangkan Allah SWT.

Caranya:
Dibaca dengan meletakkan tapak tangan kanan di dada sebelah kiri dan ditekan. Kemudian dibaca surah Al-Insyirah 3 kali dan mohonlah supaya dilapangkan dada.

6. Tuliskan surah ini pada kertas, kemudian direndam dalam air dan diminumkan airnya kepada seseorang untuk mendorongkannya supaya bertaubat dengan sesungguhnya. Elok juga di baca Asma’al Husna “AL-TAWWAB” sebanyak 300 kali selepas solat Dhuha.

7. Doa untuk menghalang anak-anak bergaduh, bacalah Al Fatihah dan selawat diikuti dengan surah Al-Insyirah sebanyak 7 kali kemudian bacakan Ayat 200 dari surah Ali Imran serta doa berikut : “Allahumma allif baina qulubihim wa ashlih zata bainihim”. Selepas itu, dihembus ke dalam air untuk diberi minum kepada anak-anak. Boleh juga dibaca dan dihembus ke ubun-ubun anak anda pada setiap malam.

8. Surah ini jika di baca pada air sebanyak 111 kali, dapat menyembuhkan penyakit batu karang. Air ini dapat menghancurkan batu kerikil tersebut.

9. Jika diamalkan surah ini sebanyak 200 x setiap terbit matahari, insyaAllah akan dibukakan kepadanya perkara-perkara yang ajaib.

10. Surah ini jika dibaca pada air kemudian diminum, insyaAllah akan hilang dukacitanya dan terpelihara dari terkejut . Jika dilakukan 7 hari berturut2, insyaAllah akan kuat daya ingatannya.


Kelebihan Surah Al-Insyirah.

Nabi Muhammad S.A.W bersabda : "Barangsiapa membaca surah Alam Nasyrah, seperti ia mendatangi aku dan aku mengambil kesempatan maka menjadi suatu kelapangan daripadaku".

Barangsiapa membiasakan membaca surah Alam Nasyrah selesai mengerjakan solat fardhu, nescaya Allah permudahkan urusannya serta dimudahkan segala keperluannya dan dimudahkan rezekinya.

Sesiapa yang membacanya nescaya Allah turut melapangkan dadanya serta dijauhkan daripada segala kesukaran dalam segala urusannya. Dihilangkan segala sifat kesal dan jemu, serta mendatangkan rajin dalam mengerjakan ibadat.

Barangsiapa membaca Alam Nasyrah sembilan kali sesudah solat fardhu nescaya Allah akan menjauhkan daripada kesempitan hidup dan dimudahkan rezeki dalam segala urusan.

Sunday, March 17, 2013

Solat Sunat Dhuha



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
اللهم صل على محمد وآل محمد
Solat Sunat Dhuha boleh dianggap sebagai rasa terima kasih seseorang hamba kepada Allah SWT atas segala berkah hidup yang diberikan-Nya.
Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan solat ini tanpa keuzuran dan umat Islam amat dituntut melakukannya. Abu Hurairah pernah berkata: “Rasulullah SAW berwasiat kepadaku tiga perkara agar jangan ditinggalkan puasa tiga hari tiap bulan, dua raka’at Dhuha dan Witir sebelum tidur.”

Daripada Abu Dzar r.a., Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah masing-masing di antara kamu setiap pagi bersedekah untuk setiap ruas tulang badanmu. Maka tiap kali bacaan tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, dan setiap takbir adalah sedekah. Menyuruh kebaikan adalah sedekah, mencegah keburukan juga adalah sedekah. Dan sebagai ganti daripada itu semua, cukuplah mengamalkan dua rakaat solat Dhuha.”   (HR Ahmad, Muslim dan Abu Daud)

Paling banyak yang dikerjakan oleh Rasulullah ialah lapan rakaat dan paling banyak yang disabdakan oleh
baginda ialah 12 rakaat. Paling sedikit yang boleh dikerjakan adalah dua rakaat.
Nabi Muhammad SAW  bersabda: “Wahai anak Adam! Janganlah sekali-kali kamu malas mengerjakan empat rakaat solat Dhuha, maka akan aku cukupkan keperluanmu sehingga waktu petang.”   (HR Al-Hakim dan At-Tabrani).

Waktu Solat Dhuha


Solat sunat Dhuha dilakukan pada waktu matahari sedang naik. Sekira cuacanya berhalangan adalah lebih mudah dengan merujuk kepada takwim waktu solat. Masanya adalah 28 minit selepas Syuruk, iaitu sekiranya waktu Syuruk 7.32 pagi dan ditambah 28 minit, maka masuknya waktu Dhuha bermula jam 8.00 pagi.
Walaupun begitu waktu paling afdal melakukan Solat Sunat Dhuha adalah anggaran matahari naik, tinggi segalah (7 hasta atau 3 meter), lebih kurang dalam pukul 9.30 pagi.
Zaid bin Arqam r.a. berkata: “Nabi SAW keluar menuju tempat Ahli Quba, di kala itu mereka sedang mengerjakan Solat Dhuha. Baginda bersabda“Inilah solat orang-orang yang kembali kepada Allah, iaitu di waktu anak-anak unta telah bangkit kerana kepanasan waktu Dhuha.”  (HR. Ahmad, Muslim dan Tirmidzi).

Cara Mengerjakan Solat Dhuha
Solat ini boleh dilakukan sekurang-kurangnya dua rakaat sehinggalah 12 rakaat, tetapi yang paling banyak dikerjakan oleh Rasulullah ialahlapan rakaat.
.
1.  Niatnya:



2.  Antara surah-surah yang dianjurkan ulama ialah:

a.  Solat sunat Dhuha dua rakaat:
i/  Ayat al-Kursi 10 kali dan Al-Ikhlas 10 kali atau;
ii/  As-Syams dan Ad-Dhuha. atau;
iii/  Al-lail dan Al-Insyirah.

b.  Solat Dhuha lebih daripada 4 rakaat;
i/  Solat Pertama :   As-Syams dan Ad-Dhuha.
ii/  Solat Seterusnya :   Surah al-Kafirun dan Al-Ikhlas

3.   Semasa sujud terakhir bacalah sebanyak 40 kali:

4.   Selepas memberi salam, bertasbihlah 10 kali:


5.  Berdoa

Fadhilat Solat Dhuha

Sebaik-baiknya solat Dhuha ini dikerjakan setiap hari kerana ia mempunyai banyak kelebihan dan fadhilatnya, dimana seseorang itu akan memperolehi keampunan Allah SWT, murah rezeki dan ketenangan jiwa serta kehidupan.
  • Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW  bersabda: “Sesiapa Yang mengerjakan solat Dhuha dengan istiqamah nescaya akan diampuni dosanya olleh Allah sekalipun dosa itu sebanyak buih di lautan.”
  • Rasulullah SAW  bersabda:  “Bahawasanya di syurga ada pintu yang dinamakan ‘Dhuha’. Maka apabila  tiba hari kiamat kelak, berserulah (malaikat) penyeru: “Manakah orang-orang yang telah mengamalkan solat Dhuha; Inilah pintu kamu, silakan masuk ke dalam syurga dengan Rahmat Allah.”   (HR At-Tabrani)
  • Rasulullah SAW juga bersabda dalam hadits lain dari Nuwas bin Sam’an,  “Allah berfirman: “Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat raka’at pada permulaan siang (Solat Dhuha), nanti pasti akan Ku cukupkan keperluanmu sampai ke petang harinya.”   (HR. Haklim dan Tabrani).

وسلام